13 FEB : Kerajaan menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuat kuasa Ahad ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata penyelarasan itu dapat membantu pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi dan seterusnya menambah pendapatan mereka.
“Walaupun industri padi dan beras negara sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran seperti ancaman perubahan iklim dan ketidaktentuan geopolitik dunia, namun Kerajaan MADANI sentiasa komited menjaga kebajikan pesawah dan kesejahteraan rakyat, dengan mengimbangi kepentingan semua pihak dalam industri padi dan beras negara.
“Pengumuman ini diharap dapat memberikan solusi ’menang-menang’ kepada pesawah, pengilang dan pengguna,” kata ketika Sesi Penerangan Menteri berkaitan keadaan semasa industri beras negara di Dewan Rakyat, hari ini.
![](http://www.bbcportal.my/wp-content/uploads/2023/09/WhatsApp-Image-2023-09-18-at-5.08.38-PM-1024x684.jpeg)
Pada sesi sama, Mohamad turut mengumumkan harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
“Bagi mengekalkan harga jualan BPT, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan sekitar RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Melalui inisiatif ini, 24 juta kampit BPT berat 10 kilogram (RM26.00) akan mula berada di pasaran secara berperingkat dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, belia menyeru semua pihak agar mengenepikan sebarang perbezaan dan perbalahan.
“Sebaiknya semua pihak perlu sama-sama menyokong segala usaha bagi memastikan agenda keterjaminan makanan rakyat kekal menjadi keutamaan pada setiap masa dan ketika,” katanya.