13 FEB : Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berperanan sebagai agensi utama untuk melaksanakan prapendaftaran MyDigital ID dalam usaha untuk meningkatkan kadar pendaftaran pada platform itu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata persetujuan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu.
“Untuk mempercepatkan proses pendaftaran, mesyuarat semalam mencadangkan supaya JPN diberi peranan sebagai agensi utama dalam prapendaftaran MyDigital ID.
“Ini kerana JPN adalah pemegang data rakyat yang paling sah dan lengkap.
“Dengan langkah ini, setiap rakyat Malaysia yang mencapai usia 12 tahun, secara automatik akan didaftarkan untuk MyDigital ID ketika mereka mendapatkan MyKad,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Anugerah Inovasi Pendaftaran Negara (AIPN) Tahun 2024 di Putrajaya, hari ini.
MyDigital ID merupakan inisiatif kerajaan bagi pengesahan identiti secara selamat dan sah untuk pengguna dalam talian yang dibangunkan sejak 2016.
Disember lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur kelewatan projek MyDigital ID dan rangkaian kedua 5G.
Menurut Saifuddin,Ketua Pengarah JPN, Badrul Hisham Alias akan meneliti semua aspek proses kerja serta keperluan undang-undang yang berkaitan.
“Dari sudut pendaftaran, kita sudah ada akta berkaitan, namun pindaan terhadap Akta Pendaftaran Negara akan dibuat untuk membolehkan transaksi menggunakan MyDigital ID diperakui.
“Tujuan utama langkah ini ialah meningkatkan kadar pendaftaran MyDigital ID dan memudahkan urusan rakyat dengan aplikasi kerajaan pada masa depan,” katanya.