14 FEB : Cadangan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui berkait mewujudkan jawatan menteri agama untuk bukan Islam tidak berkait dengan partinya, DAP.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata DAP tidak pernah membangkitkan soal pemecahan portfolio hal ehwal agama di negara ini.
“Cadangan dibangkitkan Ahli Parlimen Raub turut dibincangkan pada mesyuarat hari ini dan hal ini (jawatan menteri agama) tidak pernah berbangkit.
Malah ketua parti beliau sendiri menyatakan ia bukan pendirian parti sebaliknya pendirian beliau sendiri.
“Jadi, ia juga bukan pendirian parti dan Kabinet sendiri tidak pernah membangkitkan perkara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet di Putrajaya, hari ini.
Selasa lalu, Yu Hui mencadangkan agar portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua iaitu khusus untuk Islam dan bukan Islam ketika membahas Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata apa-apa perkara berkait perpaduan kaum di bawah Kementerian Perpaduan.
“Pada masa ini, Kementerian Perpaduan memang mempunyai mekanisme jawatankuasa harmoni yang mengumpulkan wakil daripada pelbagai agama di Malaysia untuk membincangkan isu berkaitan perpaduan kaum.
“Jadi saya rasa cadangan beliau tidak berbangkit dan tidak ada keperluan,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah mempertimbangkan untuk melantik menteri agama untuk orang bukan Islam dalam Kabinetnya.
Katanya, jemaah menteri juga tidak bersetuju dengan cadangan dikemukakan Yu Hui itu dan dianggap pandangan peribadi sahaja.