Harga padi: PeSAWAH sambut baik, syor naik subsidi output
14 FEB : Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk menyelaraskan harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan.
Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata pihaknya tidak akan berhenti berusaha untuk memohon agar kerajaan memenuhi permintaan pihaknya.
“Kita ucapkan terima kasih kerana tuntutan kita itu dipandang kerajaan walau sasaran kita RM1,800, maknanya kurang RM300.
“Kami akan terus berusaha untuk mohon pada kerajaan,” katanya kepada BBCPORTAL, hari ini.
Semalam, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan penyelarasan harga itu di Dewan Rakyat.
Pada masa sama, beliau turut mengumumkan harga jualan maksima Beras Putih Tempatan (BPT) kekal RM2.60 sekilogram.
Dalam pada itu, Abdul Rashid memohon kerajaan menaikkan subsidi output padi daripada 50 sen kepada 80 sen sekilogram bagi menyerap kembali kos penanaman padi yang disifatkan tidak berbaloi pada masa ini.
“Kerajaan juga umum harga beras RM2.60 (sekilogram), kita tahu kerajaan nak kekalkan pada harga itu cuma kami nak mohon agar dinaikkan subsidi harga padi iaitu subsidi output padi kepada RM500 setan atau pun penambahan 30 sen sekilogram kepada 80 sen sekilogram supaya dapat diserap kembali kos kami yang sangat tidak berbaloi sekarang ini.
“Bukan kami ini nak melebih-lebih atau tidak pernah cukup meminta-minta tetapi kami perlu imbangkan dengan kos dikeluarkan. Itu orang ramai mesti faham.
“Penambahan RM200 (harga lantai belian padi) untuk tampung kos kami sebenarnya ada jurang jauh lagi untuk kos itu,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rashid turut meminta kerajaan menurunkan kembali harga benih padi kepada RM35 bagi setiap 20 kilogram.
“Kita juga meminta kerajaan untuk menurunkan kembali harga benih padi kepada RM35 (sekampit/20kg). Harga benih sekarang terlalu tinggi di kilang RM55 dan dijual antara RM60 hingga RM80 mengikut kawasan.
“Ini tidak adil kerana ketika kilang meminta naikkan harga benih, ia mengambil kira harga semasa ketika itu RM1,800. Jadi apabila harga lantai itu turun, maka harga benih perlu turun juga.
“Kalau harga lantai RM1,500, harga benih RM35, harga beras RM2.60 sekilogram maka ia seimbang semula,” katanya.
Menurutnya lagi, kerajaan perlu mempunyai mekanisme yang menyeluruh untuk menyelesaikan perkara itu susulan pesawah yang sudah menuai padi kini sedang mengalami kerugian.
“Jika kerajaan nak mengurangkan atau menarik subsidi, boleh tapi bebaskan industri ini seperti yang berlaku pada durian…sayur sebab kita tertakluk pada akta.
“Bebaskan kami dan kami boleh jual beras ikut harga pasaran kami tanpa kawalan lesen,” katanya.
Sementara itu, seorang pesawah yang enggan dikenali mencadangkan kerajaan memberikan subsidi jentera kepada pesawah.
“Saya minta kerajaa beri subsidi jentera ladang kerana harganya tinggi, tak balik modal untuk pesawah,” katanya.
Selain itu, beliau menegaskan kerajaan perlu memerangi orang tengah dalam industri padi dan mengembalikan monopoli beras kepada Padiberas Nasional Berhad (Bernas) yang dimiliki tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary.
“Beliau (Syed Mokhtar) memang jaga betul pesawah-pesawah ini. Beras pun tak pernah hilang,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK