15 FEB : Donald Trump melihat organisasi antara kerajaan, BRICS berusaha melemahkan dolar dan ia memberi kesan buruk kepada Amerika Syarikat (AS) dan dunia.
Memetik laporan Sputnik/RIA Novosti, Presiden AS itu berkata enam negara terlibat sudah berkumpul untuk melemahkan mata wang mereka.
“Anda tahu, itu akan menjadi sesuatu yang amat teruk bagi negara kita. Ia akan memberi kesan buruk kepada dunia. Mereka mahu melemahkan dolar.
“Enam negara(anggota BRICS) telah berkumpul. Mereka mahu melemahkan dolar,” kata Trump pada sidang media di Rumah Putih.
BRICS ditubuhkan pada 2006 oleh Rusia, China, India dan Brazil kemudian Afrika Selatan menyertai gagasan itu pada 2011.
Sejak awal lalu, 13 negara lain secara rasmi turut diterima menyertai BRICS sebagai negara rakan, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang satu per lima kepada perdagangan global.
Selain Malaysia, negara lain ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.
Bulan lalu, Trump yang baru saja mengangkat sumpah pada 20 Januari lalu mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua import dari negara BRICS jika ia cuba melancarkan mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain bagi menggantikan dolar AS.
Terdahulu, dilaporkan negara anggota BRICS berbincang soal kemungkinan memperluas penggunaan mata wang negara masing-masing dalam urusan pembayaran serta mewujudkan mata wang bersama dalam blok itu.
Namun sehingga kini belum ada keputusan muktamad diumumkan.
