15 FEB : Empat anggota polis cedera selepas dilibas parang oleh seorang lelaki dipercayai mempunyai masalah mental dalam kejadian amuk di Taman Seri Astana, Sungai Petani, 3 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kesemua anggotanya yang terlibat mengalami kecederaan pada kepala, bahu dan tangan.
Dua anggotanya berusia 20-an yang menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani sudah dibenarkan pulang sementara dua lagi berusia 40-an dan 50-an masih dirawat namun dilaporkan stabil.
Sementara itu, suspek lelaki berusia 32 tahun itu disahkan meninggal dunia jam 1.04 pagi tadi ketika menerima rawatan di hospital sama.
Menurut Wan Azharuddin, polis menerima laporan daripada bapa suspek sebelum beberapa anggota dihantar ke rumahnya untuk memujuk dan menenangkan lelaki tersebut lebih tujuh jam namun dia bertindak agresif dan melibaskan parang.
“Sebaik tiba di lokasi, suspek didapati berada dalam rumah yang berkunci dan usaha anggota kita memujuknya tidak berjaya kerana suspek bertindak agresif termasuk melibas parang.
“Kemudian anggota tambahan pergi ke rumah itu dengan bantuan anggota bomba untuk menyembur air dan ketika itu suspek sekali lagi melibaskan parang lalu terkena dua lagi anggota polis.
“Suspek berusia 32 tahun itu bagaimanapun berjaya ditahan dan dibawa ke HSAH, disahkan meninggal dunia pada jam 1.04 pagi tadi ketika menerima rawatan. Laporan bedah siasat terhadapnya belum diperoleh setakat ini,” katanya.
Jelasnya, dalam usaha mempertahankan diri, anggota polis berkenaan terpaksa melepaskan beberapa tembakan sebelum bantuan pihak bomba menggunakan pancutan air berjaya menahan suspek.
Menurut Wan Azharuddin, kes disiasat di bawah Seksyen 307 kerana cubaan membunuh.