15 FEB : Pelarasan semula harga lantai padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 per tan metrik berkuat kuasa esok merupakan langkah strategik kerajaan mengukuhkan pendapatan pesawah serta membantu menyerap kenaikan kos pengeluaran padi di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Argoteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi Pulau Pinang, Fahmi Zainol berkata kenaikan harga lantai padi sebanyak dua kali dalam tempoh tiga tahun lalu mencerminkan komitmen kerajaan dalam membela golongan tersebut, sekaligus memastikan keterjaminan makanan di Malaysia.
“Pelarasan harga lantai padi ini juga dapat membantu pesawah menyerap kenaikan kos pengeluaran padi sekali gus menaikkan margin keuntungan mereka.
“Peruntukan sebanyak RM150 juta kepada pengilang padi untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini juga bagi mengimbangi kenaikan harga belian padi dan mengekalkan harga jualan Beras Putih Tempatan (BPT) di paras RM2.60 sekilogram.
“Ini adalah suatu keputusan yang sangat berani dalam membela nasib petani pada masa sama ia tidak membebankan rakyat,” katanya ketika dihubungi BBCPORTAL, hari ini.

Pada Khamis, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan penyelarasan harga lantai belian padi akan dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 per metrik tan berkuat kuasa esok.
Ia disusuli dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan Kerajaan MADANI memperuntukkan sebanyak RM150 juta untuk pengilang padi bagi memastikan harga jualan maksima beras putih tempatan kekal RM2.60 sekilogram.
Dalam pada itu, Fahmi berkata walaupun terdapat permintaan daripada pesawah menaikkan harga lantai padi kepada RM1,800, ia bukanlah keputusan yang mudah kerana kenaikan tersebut perlu mencapai keseimbangan antara pesawah, pengilang dan pengguna.
Katanya, jumlah kenaikan yang diumumkan adalah munasabah memandangkan Malaysia merupakan negara yang menyumbang subsidi penanaman padi tertinggi di Asia Tenggara.
“Purata pengeluaran padi kurang lebih sebanyak 3.88 tan per hektar, di mana setiap pesawah menerima subsidi dari Kerajaan MADANI sebanyak RM500 bagi setiap tan pengeluaran padi.
“Jika harga lantai belian yang baharu ini sebanyak RM1,500 per tan ditambah dengan subsidi daripada kerajaan, maka pesawah akan mendapat sebanyak RM2,000 per tan metrik daripada hasil jualan padi.
“Ini tidak termasuk dengan subsidi bajak sebanyak RM100, subsidi kapur RM162, skim baja persekutuan RM620, subsidi baja NPK RM420, subsidi baja mikrob tempatan RM126, subsidi kupon racun RM200.
“Maknanya purata seorang pesawah boleh mendapat subsidi sebanyak RM3,570 per hektar semusim…ditambah lagi dengan beberapa bantuan khas seperti bantuan bencana,” katanya.
Selain itu, Fahmi berkata menerusi pelarasan harga lantai padi, industri padi di negara ini berpotensi menjadi lebih mampan dan berdaya saing di peringkat global.
“Selain menjamin kebajikan pesawah, kenaikan harga lantai padi ini juga dilihat berpotensi meningkatkan kualiti beras tempatan…ia juga memberi limpahan manfaat kepada industri padi seperti menjadikan indutri padi tempatan lebih menarik untuk diceburi golongan belia,”katanya.
Bagaimanapun, Fahmi berkata kerajaan perlu mengambil langkah berhati-hati dalam menaikkan harga lantai padi kerana dikhuatiri kenaikan secara mendadak akan memberi kesan kepada harga runcit beras.
“Penggunaan beras tempatan ini melibatkan banyak kumpulan pengguna selain rakyat biasa…sebagai contoh hampir 20 peratus daripada pengeluaran beras tempatan digunakan pemain-pemain industri yang terlibat di dalam sektor pembekalan makanan di dalam negara.
“Jika harga beras tempatan dinaikkan secara mendadak, ia akan memberi kesan yang besar kepada kumpulan pembekal ini,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL