Pertandingkan jawatan presiden, biar MPP PKR putuskan

15 FEB : Majlis Pimpinan Pusat PKR akan membuat keputusan berkait jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan atau tidak dalam pemilihan Mei depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR berkata beliau tidak mencampuri urusan itu.
“Biar mereka putuskan. Saya tak campur. Biar demokrasi, yang bertanding, tak bertanding, dia putus sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya, hari ini.
Awal Februari lalu, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin mencadangkan dua jawatan utama parti itu tidak dipertandingan pada pemilihan parti akan datang.
Katanya, syor itu berdasarkan beberapa pandangan daripada proses rundingan dalaman yang diadakan sebelumnya.
“Ia untuk memastikan dalaman parti itu lebih tenang serta melancarkan khidmat bakti kepada rakyat memandangkan pilihan raya hanya berbaki kira-kira dua tahun lagi.
“Apa pun tidak ada keputusan dalam parti yang menghalang, tetapi kita di peringkat pimpinan ini tentulah ada perbincangan kerana kita ada agenda yang lebih penting,” katanya.
Mengikut Perlembagaan PKR, setiap Presiden hanya boleh memegang jawatan itu selama tiga penggal dan penggal akan datang merupakan yang terakhir untuk Anwar.
Pemilihan PKR bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Wanita Pusat dan Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan Pusat bagi sesi 2025-2028 dijadual pada 24 Mei ini.