17 FEB : Bermula bulan depan, sebarang aduan berkait salah laku polis boleh dibuat melalui Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEACS).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sistem itu dibangunkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) bagi mengganti aduan melalui kaunter, surat dan e-mel.
“Melalui cara ini, ia akan menggantikan sistem aduan cara sekarang antaranya melalui e-mel, pengadu datang sendiri dan surat…itu semua tiada lagi.
“Mereka boleh terus melaporkan menggunakan sistem ini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berkait pencapaian IPCC sejak penubuhannya sehingga akhir tahun 2024 dan menjelaskan fungsi IPCC, Police, Friends and Collaborator (IPFC).
Menurut Saifuddin, IPCC boleh menghasilkan laporan tahunan, perincian statistik aduan dan perkembangan dari semasa ke semasa dengan SPEACS berkenaan.
“Ia bermakna apabila sistem ini dibangunkan, kita boleh ada papan pemuka untuk membuat pengesanan terhadap status aduan,” katanya.
Selain itu, Saifuddin menjelaskan, IPCC sudah membuka lapan kertas siasatan terhadap aduan yang diterima membabitkan salah laku dan empat daripadanya berjaya diselesaikan.
“Berdasarkan akta IPCC, ada aduan IPCC boleh siasat dan cadangkan hukuman, ada aduan IPCC terima dan perlu disalur kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ada elemen rasuah.
“Ada juga aduan jenayah berat perlu disalurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ). Fungsi suruhanjaya ini beradaskan kepada aduan yang sampai.
“Lagi banyak aduan yang sampai, bermakna lagi tinggilah keyakinan awam terhadap suruhanjaya ini menjalankan tugas,” katanya.