17 FEB : Generasi muda perlu memahami asas penubuhan negara dan menghormati prinsip yang membentuk Malaysia sebagai sebuah negara makmur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kepelbagaian di negara ini tidak sepatutnya melemahkan masyarakat sebaliknya ia menjadi kekuatan memperkukuh negara.
“Perbezaan warna kulit, keyakinan agama dan budaya boleh digunakan untuk menanam kebencian tetapi kita memilih untuk melihatnya sebagai kekuatan yang menambah mutu kesatuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama bagi Majlis Memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Memorial Tunku Abdul Rahman Putra di ibu negara, hari ini.
Katanya, Malaysia antara negara unik di mana rakyatnya mampu menguasai pelbagai bahasa selain seni dan budaya Malaysia turut menjadi daya tarikan di peringkat antarabangsa.
“Baru-baru ini, ramai pemimpin dunia yang melawat Malaysia menyatakan rasa kagum dengan keunikan budaya negara kita. Ini adalah bukti bahawa kepelbagaian kita adalah keistimewaan, bukan penghalang,” katanya.
Menurutnya, kita perlu terus berpegang kepada prinsip asas yang diterapkan pemimpin terdahulu bagi memastikan kemakmuran Malaysia.
“Kita tidak boleh mengabaikan fakta bahawa asas negara ini dibina atas semangat kesatuan. Malaysia akan terus maju jika kita menghargai dan mempertahankan perpaduan ini,” katanya.
Beliau menyeru generasi muda hari ini agar memahami dan menghargai perjuangan pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman dalam membina negara Malaysia.
Malah katanya, Memorial Tunku Abdul Rahman itu bukan sekadar untuk memperingati sejarah tapi juga untuk memberi kesedaran dan pengajaran kepada rakyat, khususnya anak muda.
“Ini bukan hanya peringatan sejarah tetapi untuk memberi kefahaman kepada generasi baharu tentang erti perjuangan, pengorbanan dan kepentingan perpaduan.
“Walaupun diterima majoriti rakyat, perjuangan Tunku Abdul Rahman tidak terlepas daripada hambatan dan tentangan. Namun, beliau tetap teguh mempertahankan prinsip perpaduan negara,” katanya.
Beliau menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan besar Tunku Abdul Rahman dalam menuntut kemerdekaan Malaya dan membentuk Malaysia.
“Tunku menetapkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera, serta kedaulatan Raja-Raja Melayu perlu dipertahankan.
“Dalam keadaan geopolitik yang tidak menentu pada ketika itu, hanya pemimpin berwawasan seperti Tunku Abdul Rahman yang mampu melihat jauh ke hadapan dan memastikan Malaysia terbentuk dengan aman,” kataya.
