17 FEB : Kerajasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak diperkukuh melalui Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PETRONAS dan PETROS bersetuju mengiktiraf Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA 1974) sebagai asas undang-undang yang mengawal selia sektor berkenaan.
Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak juga bermuafakat katanya, mengiktiraf Akta 144 sebagai akta Persekutuan seperti yang tertera dalam peruntukan undang-undang.
Selain itu, menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, kerajaan turut menyambut baik aspirasi Sarawak untuk lebih terlibat dalam industri minyak khususnya melalui pelaksanaan Ordinan Pengagihan Gas 2016 (DGO) yang berkuat kuasa 1 Mac depan.
DGO itu akan dibaca bersama Akta PDA 1974 yang menetapkan dasar bagi pengurusan industri minyak dan gas di Malaysia.
“PETROS di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2 billion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
“PETROS juga berwewenang meluaskan kegiatan baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan PETRONAS.
“PETRONAS dan PETROS akan bergerak sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta Sarawak selain semua rundingan terperinci berikutnya bakal mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan di Dewan Rakyat berkait aktiviti petroleum di Sarawak, hari ini.
Menurut Anwar, meski PETROS berperanan sebagai ‘aggregator’ atau badan penyelaras dalam industri minyak dan gas di Sarawak namun kelulusan dan obligasi kontraktual domestik serta antarabangsa yang diberikan kepada PETRONAS akan kekal berkuat kuasa.
“Kerjasama ini adalah selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 dan mengiktiraf Akta PDA 1974 sebagai akta Persekutuan,” katanya.
*Foto : Facebook Anwar Ibrahim