17 FEB : Sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas membuat lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu di ibu negara sempena hari pertama pembukaan sesi persekolahan 2025/2026, hari ini.
Meski berdepan jadual yang padat, Anwar meluangkan masa meninjau sendiri suasana hari pertama persekolahan itu dan beramah mesra dengan warga sekolah berkenaan.
“Pagi tadi saya kembali ke bilik darjah tetapi bukan sebagai guru tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa termasuk para pelajar.
“Di Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu, saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.
“Dalam kunjungan mengejut dan singkat tersebut, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan tetapi soal membina impian, menerjah peluang dan mencorak harapan,” katanya.
Beliau berkongsi melalui satu hantaran di Facebook, hari ini sambil mengucapkan selamat kembali menimba ilmu kepada murid-murid yang memulakan sesi persekolahan, hari ini.
Menurutnya setiap orang memiliki tanggungjawab demi kejayaan anak bangsa.
“Di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.
Beliau turut mengimbau detik bergelar mahasiswa di Georgetown University, Washington DC sebelum ini dan menyedari betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing anak bangsa.
“Bukan sahaja dengan ilmu tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah.
“Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeda, namun semangat mencurah bakti adalah yang sama,” katanya.

Semalam, sesi persekolahan 2025/2026 bagi Kumpulan A bagi sekolah di Kedah, Terengganu dan Kelantan sudah bermula manakala hari ini membabitkan 11 negeri lain.