18 FEB : Kecerdasan buatan (AI) perlu dimanfaatkan bagi memerangi maklumat palsu yang semakin membimbangkan mutakhir ini di sebalik kemajuan AI.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata konsep ‘melawan api dengan api’ perlu digunakan dalam menentang ancaman AI dalam keselamatan siber.
Memetik laporan Bernama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan merujuk organisasi seperti BlackBerry yang menggunakan AI untuk meningkatkan keselamatan digital.
“Terdapatnya peluang untuk melihat apa yang AI boleh lakukan untuk organisasi berita anda dan landskap negara anda dalam memerangi keburukan maklumat palsu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Agensi-Agensi Berita Asia-Pasifik (OANA) ke-54 di ibu negara, malam tadi.
Fahmi sempat menyentuh tentang cabaran dihadapi organisasi media hari ini terpaksa bersaing dengan media sosial yang menjadi sumber berita dan ia memberi kesan besar kepada pengiklanan media tradisional.
Dalam pada itu, Fahmi berkongsi inisiatif terbaru negara dalam memerangi maklumat palsu dengan memperkenalkan chatbot AI pemeriksaan fakta ‘AIFA’ untuk memerangi berita palsu di WhatsApp.
Beliau berkata chatbot AIFA atau ‘Artificial Intelligence Fact-check Assistant‘ itu dibangunkan selepas satu tinjauan yang menunjukkan ramai rakyat Malaysia bergantung pada WhatsApp untuk berita terkini.
“Jadi kami memutuskan untuk memerangi maklumat palsu di WhatsApp, secara langsung di WhatsApp. Kami mencipta chatbot ini dan orang ramai boleh berinteraksi dengannya, orang ramai boleh bertanya soalan padanya,” katanya.
Dalam majlis anjuran Kementerian Komunikasi itu, Fahmi menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dua agensi berita, Perusahaan Umum Lembaga Kantor Berita Nasional (ANTARA) dari Indonesia dan Kyodo News dari Jepun.
MoU itu untuk memperbaharui kerjasama sedia ada sambil meningkatkan perkhidmatan kandungan bagi memenuhi keperluan media baharu yang berkembang.
*Foto : Facebook BERNAMA