18 FEB : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang).
Perkara itu dimaklumkan melalui satu kenyataan media Istana Negara yang disiarkan di akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Menurut kenyataan itu, baginda dijangka berangkat pulang ke Malaysia, Jumaat ini.
“Kesakitan berkenaan berlaku akibat latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda terutamanya bermain polo.
“Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah bertitah menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang telah mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Seri Paduka Baginda,” menurut kenyataan itu.
Pada 7 Februari lalu, Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan diiringi Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar