19 FEB : Amalan mengambil sarapan pagi merupakan rutin penting dalam kehidupan seharian bagi menjana tenaga untuk memulakan hari terutama pelajar.
Sehubungan itu, Pakar Dietetik dan Nutrisi yang juga Pengurus Akses Komuniti Angsana Health, Yasmin Norazharuddin berpendapat pengambilan sarapan yang berkhasiat lebih-lebih lagi untuk kanak-kanak amat penting bagi meningkatkan prestasi mental serta fizikal.
Menurutnya, pelajar yang tidak mengambil sarapan akan mudah berasa terganggu serta sukar untuk memberi tumpuan di dalam kelas.
“Kebanyakkan kanak-kanak yang tidak mengambil sarapan akan berasa sukar untuk memahami apa yang diajar oleh guru di dalam kelas, oleh itu, pengambilan lemak sihat yang mengandungi DHA dan EPA di dalam sarapan penting bagi perkembangan otak.

“Dari segi fizikal, kanak-kanak memerlukan sarapan yang bernutrisi bagi membolehkan mereka bergerak dan bertenaga…antara makronutrien yang diperlukan seperti karbohidrat, protein dan kalsium bagi mengekalkan tenaga sepanjang hari, lebih-lebih lagi kanak-kanak sememangnya sentiasa aktif bergerak.
“Selain itu, iodin juga merupakan makronutrien penting yang diperlukan kanak-kanak kerana ia membantu perkembangan tiroid, sekali gus membantu perkembangan tumbesaran mereka,” katanya kepada BBCPORTAL, hari ini.
Justeru itu, Yasmis berkata ibu bapa dinasihatkan untuk lebih cakna tentang penjagaan makanan anak-anak terutamanya pada waktu pagi.
Katanya, ibu bapa juga perlu mengambil inisiatif dengan mempelajari amalan pemakanan yang baik khususnya mengenai jenis dan kuantiti makanan patut diberikan setiap kali waktu makan.
“Ibu bapa perlu menjadi teladan kepada anak-anak, jika ibu bapa tidak mengamalkan pemakanan yang sihat, anak-anak akan ikut apa yang mereka makan dan ia akan menjadi habit kepada mereka.
“Penyediaan sarapan agak mencabar kepada ibu bapa lebih-lebih lagi untuk mereka yang sibuk bekerja namun perlu ada inisiatif untuk menyediakan sarapan kepada kanak-kanak.
“Cara terbaik adalah dengan menyediakan makanan yang mudah dimasak sebelum tidur…masak makanan yang boleh bertahan sehingga tiga ke lima hari…ia lebih mudah kerana apabila bangun pagi, mereka hanya perlu panaskan sahaja,” katanya.
Selain itu, Yasmin berkata ibu bapa juga perlu memberi penerangan kepada anak mengenai kepentingan pengambilan sarapan menggunakan pendekatan yang mudah difahami.
Sementara itu, Nur Ilyani Nazri, 34 yang merupakan ibu kepada dua anak yang masih bersekolah berkata penyedian makanan yang berkhasiat kepada anak adalah penting bagi memastikan anak-anak dapat memberikan tumpuan yang baik di dalam kelas.
Justeru itu, katanya amalan membawa bekal ke sekolah seharusnya digalakkan kerana ia bukan sahaja dapat mengelakkan kanak-kanak daripada membeli makanan yang tidak berkhasiat malah dapat menjimatkan wang belanja.
“Penyediaan bekal makanan untuk anak di sekolah boleh memberi faedah kepada mereka kerana makanan yang disediakan oleh ibu bapa merupakan makanan yang berkhasiat, seimbang dan bersih,” katanya.
*OLEH : AISYAH BADRUL