19 FEB : Semua wakil rakyat terutama dari blok pembangkang diingatkan agar menjaga isi perbahasan agar tidak terarah kepada isu berunsur hasutan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata ahli Parlimen sewajarnya membahaskan perkara yang dapat memupuk perpaduan masyarakat selaras titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim ketika perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Katanya, baginda mengingatkan semua pihak bahawa Parlimen itu dewan yang mulia untuk membahaskan agenda kepentingan rakyat.
“Saya lihat ramai ahli Parlimen terutama pembangkang sangat tidak bertanggungjawab. Mereka sepatutnya mendengar serta mengikut titah nasihat Tuanku supaya menggunakan dewan untuk membahaskan perkara yang benar-benar boleh bantu pupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan membina sebuah negara bangsa berjaya.
“Bukan cuba mengapi-apikan atau menakut-nakutkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Impact Comm 2025: Shaping Corporate Communication for Impact di ibu negara, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary yang menyifatkan cadangan agar digubal Akta Antidiskriminasi Kaum itu yang dibuat Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng sebelum ini dikatakan mampu meningkatkan ketegangan dan berkemungkinan menyebabkan rusuhan 13 Mei 1969 berulang.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata beliau akan merujuk Ahmad Marzuk itu ke Jawatankuasa Pilihan Khas yang berkaitan di Dewan Rakyat susulan kenyataan tersebut dilihat seolah-olah satu percubaan hasutan.
“Saya juga akan bawa perkara itu kepada perhatian Kabinet kerana ini seperti satu percubaan hasutan. Sebagai Ahli Parlimen, beliau sepatutnya lebih bijak dan jangan mengapi-apikan sentimen dan cuba bangkitkan hal seperti ini,” katanya.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang menegaskan penguatkuasaan undang-undang sedia ada sudah memadai bagi memelihara hubungan kaum di negara ini
Kata Aaron, tiada keperluan untuk memperkenal undang-undang baharu seumpama itu pada masa ini.
Sementara mengulas mengenai majlis hari ini, Fahmi berkata persidangan itu dirangka bagi memperkasa golongan profesional komunikasi dengan kemahiran, strategi dan pandangan yang diperlukan bagi mengharungi cabaran komunikasi korporat moden.
Pemimpin industri, pakar komunikasi dan ahli strategi berhimpun dalam persidangan itu untuk meneroka kuasa transformasi komunikasi strategik dalam membentuk reputasi korporat, mempengaruhi persepsi awam dan memacu kejayaan perniagaan.