Rakyat AS berhimpun, bantah pentadbiran Trump, Musk
19 FEB : Ribuan rakyat Amerika Syarikat (AS) turun ke jalan bagi membantah pentadbiran Presiden baharu, Donald Trump.
Mereka menyuarakan bantahan terhadap perubahan besar yang dilaksanakan Trump dan penasihatnya, Elon Musk.
Protes itu diadakan sempena cuti umum Hari Presiden yang diisytihar disambut pada setiap Isnin ketiga bulan Februari, setiap tahun.
Peserta protes mendesak anggota Kongres menjalankan tugas mereka susulan pelbagai dasar baharu diumum Trump.
Mereka menyatakan bantahan terhadap tindakan Trump dan Musk yang dilihat semakin agresif menyasarkan agensi kerajaan dengan memberhentikan ribuan kakitangan awam persekutuan.
Penganjur protes itu dilaporkan berkata himpunan itu diadakan sebagai tindak balas terhadap tindakan anti demokratik dan tidak sah oleh pentadbiran Trump.

Sejak dilantik 20 Januari lalu, Trump mengenakan pelbagai jenis tarif ke atas barangan import termasuk 10 peratus tarif tambahan ke atas semua import dari China berikutan kegagalan China menghentikan penyeludupan fentanyl.
Tarif 25 peratus juga dikenakan ke atas barangan dari Mexico dan import bukan tenaga dari Kanada yang kemudiannya ditangguhkan sebulan.
Kemudian tarikh 12 Mac ini ditetapkan sebagai permulaan tarif 25 peratus dikenakan ke atas semua import keluli dan aluminium selain tarif ke atas ratusan produk keluli dan aluminium termasuk tiub saluran elektrik serta bilah jentolak.
Minggu lalu, Trump memecat hampir 10,000 kakitangan kerajaan Persekutuan dalam usaha mengurangkan birokrasi negara itu secara ketara.
Beberapa agensi telah ditutup seperti badan pengawas bebas iaitu Biro Perlindungan Kewangan Pengguna (CFPB)
Pemecatan itu adalah tambahan kepada kira-kira 75,000 pekerja yang sudah menerima pampasan ditawar Trump dan Musk untuk meninggalkan pekerjaan mereka secara sukarela.
*Foto: Facebook WAMU 88.5 – American University Radio