19 FEB : Kerajaan melakukan penambahbaikan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mengimbangi soal keselamatan negara dengan hak asasi individu.
Pada masa sama, ia bagi memastikan keberkesanan dalam menangani aktiviti jenayah serius, kompleks dan berstruktur yang mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tiga hala tuju dirumuskan bagi penambahbaikan SOSMA itu.
“Pertama kerajaan akan membuat semakan semula terhadap senarai atau jadual kesalahan-kesalahan yang tidak boleh dijamin mutlak dan kesalahan yang boleh dijamin dengan budi bicara mahkamah mengikut tahap keseriusan.
“Ada 73 kesalahan yang terangkum di bawah akta ini dan mulai sekarang kita akan semak balik dan kita akan tengok kesalahan apa yang kita kekal kategori sebagai tidak boleh dijamin dan kesalahan apa kita akan beri mahkamah untuk membenarkan ikat jamin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penerangan menteri mengenai SOSMA di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Saifuddin, bagi memastikan kes berkaitan SOSMA itu tidak perlu menunggu lama untuk dibicarakan, kerajaan akan mengkaji keperluan mewujudkan Mahkamah Khas SOSMA seperti Mahkamah Khas Rasuah dan Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-Kanak.
Selain itu, kajian untuk pindaan terhadap Seksyen 30 SOSMA juga akan dilakukan bagi membenarkan tahanan diikat jamin sementara menunggu proses undang-undang seperti perbicaraan dan rayuan mahkamah selesai.
Susulan undang-undang yang tidak membenarkan tertuduh di bawah SOSMA diikat jamin, Saifuddin berkata pembentukan jawatankuasa khas akan disegerakan bagi memperhalusi cadangan pindaan dan segera dibawa ke Parlimen.
Ketika ini, hanya kanak-kanak berusia bawah 18 tahun, wanita atau seorang yang sakit boleh diikat jamin dan ia tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
“Lagi cepat jawatankuasa khas ini menghasilkan dapatan, lagi cepat kita dapat bentang di Parlimen kerana kita ada sesi (persidangan) pada Julai dan biar itu jadi garis masa untuk menunjukkan kesediaan kita yang sentiasa terbuka dalam menambah baik dasar perundangan, peraturan serta usaha untuk memperkasa keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.
Menurutnya, meski penambahbaikan akan dibuat terhadap akta itu, kerajaan akan tetap tegas menangani ancaman jenayah keganasan dan jenayah terancang yang masih wujud dinegara ini.
“Ini membuktikan kesediaan kita untuk berganjak daripada status quo sekarang, tetapi tidak sama sekali mengabaikan prinsip dan tanggungjawab menjaga keamanan dan ketenteraman sambil memastikan hak asasi mereka yang terlibat terjaga,” katanya.
SOSMA digubal pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA).