19 FEB : Sudah tiba masanya kepimpinan DAP diambil alih generasi baharu untuk memacu parti itu pada masa depan.
Pemimpin veteran DAP Pulau Pinang, Datuk Seri Phee Boon Poh berkata cadangan itu bukan bermakna menafikan jasa pemimpin-pemimpin veteran termasuk ‘keluarga Lim’.
“Kita mesti menerima bahawa parti tidak berhutang dengan kita…Tiada siapa yang mempertikaikan pengorbanan yang telah dilakukan oleh keluarga Lim, tetapi terdapat juga ramai ahli veteran lain yang telah memberikan segalanya untuk tujuan itu.
“Saya sendiri telah melakukan banyak pengorbanan dan sumbangan kewangan untuk memastikan DAP Pulau Pinang terus bertahan pada masa yang paling teruk dan saya melakukannya dengan rela hati tanpa mengharapkan ganjaran atau pengiktirafan.
“Oleh itu, sebagai seorang pemimpin veteran, saya percaya bahawa sudah tiba masanya untuk memberikan generasi akan datang masa depan yang lebih baik untuk memacu parti ke hadapan ke arah yang baharu. Kita mesti menerima bahawa parti itu tidak berhutang dengan kita,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau berkhidmat lima penggal di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan tiga penggal sebagai Exco kerajaan negeri.
Keluarga Lim itu merujuk kepada keluarga Tan Sri Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng yang kini merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP memimpin parti itu selama beberapa dekad.
Dalam kenyataan sama, bekas EXCO Pulau Pinang itu mengumumkan beliau tidak akan bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18.
Pengumuman itu susulan penarikan diri dua lagi pemimpin veteran DAP, Tan Kok Wai dan Fong Kui Lun, awal hari ini.
“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya memutuskan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya dan akan menarik balik pencalonan saya pada hari ini.
“Saya pertama kali dicalonkan sebagai calon DAP pada 1990 dan berkhidmat selama lima penggal di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang dan tiga penggal sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).
“Pada masa ini saya telah mengambil setiap peluang untuk melatih bakat baharu dan menjadikan mereka pemimpin masa depan. Itulah sebabnya saya tidak mencari jawatan kepimpinan lebih lanjut dan mahu generasi pemimpin seterusnya menerajui parti pada masa hadapan,” katanya.
Beliau menyifatkan segala pengorbanan Kit Siang dan Guan Eng itu sudah ‘dibayar’ dengan jawatan yang dipegang keluarga mereka termasuk anak perempuannya, Lim Hui Ying.
“Tan Sri Lim Kit Siang dan veteran yang lain banyak berkorban untuk parti dan pastinya tidak dinafikan perkara ini. Segala pengorbanan Guan Eng dan bapanya demi perjuangan tidak akan dilupakan parti.
“Tetapi kita juga harus ingat selepas dibebaskan, Guan Eng menjadi Setiausaha Agung parti pada 2004 dan terus memegang jawatan itu sehingga 2022. Pada 2008, beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli Parlimen dan Ketua Menteri Pulau Pinang.
“Pada 2018, beliau juga menjadi Menteri Kewangan Malaysia (berbangsa Cina pertama yang memegang jawatan itu sejak 1974). Sejak 2022, Lim Hui Ying menjadi Ahli Parlimen Tanjong dan Timbalan Menteri Pendidikan dan kemudiannya (Timbalan Menteri) Kewangan,” katanya.