20 FEB : Mana-mana penyedia perkhidmatan Internet dan media sosial yang beroperasi tanpa lesen di negara ini boleh disaman sehingga RM1 juta atau dihukum penjara10 tahun.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata penalti itu dibenarkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 [Akta A1743] yang mula berkuat kuasa pada 11 Februari lalu.
“Berhubung tindakan ke atas penyedia perkhidmatan, MCMC boleh mengambil tindakan di bawah seksyen 126 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] ke atas mana-mana penyedia perkhidmatan yang beroperasi tanpa lesen selepas Akta Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2025 [Akta A1743] mula berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
“Jka disabitkan kesalahan, Penyedia Perkhidmatan berkenaan boleh dikenakan penalti yang dipinda iaitu denda tidak melebihi RM1 juta atau sepuluh tahun penjara, atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan denda selanjutnya RM100,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan itu berterusan selepas pensabitan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiar di laman web Parlimen.
Fahmi menjawab soalan Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (PN-Langkawi) yang meminta Menteri Komunikasi menyatakan hukuman kepada pengendali platform media sosial yang gagal memohon lesen penyedia media sosial.
Pada Julai tahun lalu, Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi.
Dalam pada itu, Fahmi berkata sebarang pelanggaran, pihak MCMC akan mempertimbangkan tahap keseriusan pelanggaran, impak serta kekerapan dan rekod pematuhan penyedia perkhidmatan yang dimaksudkan dalam memutuskan tindakan yang bersesuaian.
Menurut Fahmi, setakat ini tiga syarikat penyedia perkhidmatan sudah dilesenkan iaitu WeChat, TikTok dan Telegram.
OLEH : HANUM RAJAK