Jaga imej negara, kempen tentang Malaysia

20 FEB : Rakyat Malaysia yang berada di luar negara perlu memainkan peranan menjaga imej negara dan mempromosikan Malaysia di mata dunia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembawakan diri rakyat Malaysia di luar negara juga penting mengekalkan nama baik selain usaha dilaksanakan pihak kedutaan.
“Harus juga aktif kempen tentang Malaysia…pelancongannya, Kota Kinabalu, Pulau Pinang, Kelantan dan semua yang ada keistimewaan masing-masing,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam yang disertai kira-kira 300 diaspora Malaysia di Bahrain pada Rabu.
Pada masa sama, Anwar juga mahu rakyat Malaysia yang berada di luar negara bersemangat dan memiliki kekuatan untuk membawa perubahan.
“Pilihan ada di tangan kita, yang terbaik dalam kalangan anda adalah mereka yang mampu berfikir dan merenung. Lebih-lebih lagi golongan seperti anda, profesional muda yang mendapat pendedahan, pengalaman baharu dan dimensi yang lebih luas.
“Ambil peluang dan serap apa yang anda boleh…miliki semangat dan kekuatan untuk membawa perubahan,” katanya.
Katanya, Malaysia sangat berpotensi untuk berjaya dari segi ekonomi di sebalik kedinamikan budaya, berbilang kaum dan agama.
Terdahulu, Anwar menyampaikan ucapan pada Persidangan Dialog Intra-Islamik (IIDC) yang dihadiri para ulama dan sarjana Islam dunia.
Anwar ke Bahrain dalam rangka lawatan rasmi sulungnya atas jemputan Putera Mahkota Bahrain yang juga Perdana Menteri, Sheikh Salman Hamad al-Khalifa.
Beliau dijadual menghadap Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa, hari ini.