21 FEB : Seorang kanak-kanak yang didakwa tercekik gula-gula kenyal disahkan meninggal dunia selepas dua hari menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU), Hospital Pulau Pinang.
Susulan itu, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang bertindak merampas gula-gula kenyal atau ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ yang dijual di sebuah gerai di Jalan Sungai Dua.
Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen berkata rampasan itu dijalankan berikutan hasil siasatan awal yang mendapati gula-gula berkenaan dipercayai dibeli dari sebuah gerai berhampiran sekolah mangsa.
“Pemeriksaan ke atas gerai-gerai di kawasan sekitar telah dijalankan pada Rabu dan pasukan penyiasat telah menemui produk ‘Gummy Original Basketball Soft Candy’s’ di sebuah premis di Jalan Sungai Dua dan sitaan produk telah dijalankan.
“JKN Pulau Pinang kini sedang menyiasat lebih lanjut berkaitan keselamatan produk makanan terbabit dan tindakan selanjutnya akan diselaraskan di peringkat ibu pejabat Program Keselamatan Dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10 menghembuskan nafas yang terakhirnya kira-kira jam 11 malam tadi.
Sebelum itu, mangsa dilaporkan rebah ketika mahu ke tandas selepas mengadu tersedak.
Dalam pada itu, Daniel meminta ibu bapa untuk memantau dan menasihati anak-anak agar mereka lebih berhati-hati dalam pemilihan makanan terutama makanan yang mempunyai risiko tercekik.
Katanya, sebarang pengambilan makanan untuk anak-anak hendaklah berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga.
Dalam pada itu katanya, JKN Pulau Pinang akan terus menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan serta mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
Daniel sempat menzahirkan ucapan takziah bagi pihak kerajaan negeri kepada keluarga serta rakan mangsa dan berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini.