21 FEB : Syarikat teknologi Amerika Syarikat, Google LLC didenda beberapa kali di Rusia pada tahun lalu atas pelanggaran kandungan.
Memetik laporan Xinhua, badan pemantau telekom Rusia, Roskomnadzor mendedahkan perkara itu yang dipetik agensi berita TASS.
“Pada 2024, mahkamah mengenakan denda terhadap Google LLC sebanyak empat kali dengan jumlah keseluruhan sebanyak 15.1 juta rubel (sekitar AS$170,000),” kata badan itu.
Laporan itu menyebut, Google didenda kerana gagal menghapus kandungan berunsur ekstremisme, berita palsu serta bahan yang menghasut rusuhan besar-besaran daripada platform perkongsian videonya, YouTube.
Selain itu, Google turut dikenakan denda atas kandungan berkaitan perkhidmatan VPN dan bahan lain yang menyalahi undang-undang.
Isnin lalu, Gooels sekali lagi didenda oleh Mahkamah Daerah Tagansky di Moscow sebanyak 3.8 juta rubel (sekitar AS$43,000).
Jelas Roskomnadzor, denda itu dikenakan susulan syarikat tersebut gagal menurunkan maklumat salah mengenai Angkatan Tentera Rusia, seruan untuk membiayai tentera Ukraine, hasutan rusuhan besar-besaran serta bahan yang mempromosikan hubungan seksual tidak selari dengan moral tradisional.
Ini termasuk video yang menjelaskan kaedah untuk memintas sekatan ke atas sumber yang diharamkan di Rusia serta maklumat yang diisytihar Mahkamah Rusia sebagai dilarang untuk diedarkan di negara itu.
*Foto: Facebook Google