22 FEB : Kementerian Pengangkutan mengarahkan aspek keselamatan dan kemudahan di semua stesen tren terutama bagi golongan orang kurang upaya (OKU) dikaji semula serta dipertingkatkan.
Ia susulan tragedi meragut nyawa seorang penumpang OKU yang berlaku di Stesen Titiwangsa, pagi tadi.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kementerian dan semua pihak berkaitan termasuk Prasarana sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap kejadian itu.
“Kementerian Pengangkutan kini bekerjasama rapat dengan semua pihak berkaitan terutamanya Prasarana untuk menjalankan siasatan terperinci.
“Saya telah mengarahkan supaya aspek keselamatan di semua stesen tren khususnya kemudahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dikaji semula dan dipertingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, seorang lelaki OKU buta penglihatan maut selepas terjatuh dan digilis tren di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Titiwangsa, Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Siasatan awal mendapati mangsa terjatuh di kawasan rel sebelum dilanggar sebuah tren.
Menurutnya, Prasarana akan mengambil beberapa langkah penting bagi mengelakkan kejadian tersebut berulang.
“Kamera litar tertutup (CCTV) pintar yang berupaya mengesan perilaku berisiko akan dipasang di stesen.
“Bagi jangka masa panjang pula, Prasarana dalam perancangan untuk memasang Platform Screen Doors (PSD) di kesemua laluan LRT sebagai usaha memperkukuh keselamatan penumpang,” katanya.
Sementara itu, mana-mana penumpang yang memerlukan bantuan tambahan termasuk golongan OKU dinasihatkan agar menghubungi kakitangan Prasarana atau polis bantuan di stesen bagi memastikan keperluan mereka diberi perhatian sewajarnya.
Dalam pada itu, Anthony memberi jaminan keselamatan dan kebajikan penumpang sentiasa menjadi keutamaan kerajaan.
“Kerajaan komited untuk memastikan sistem pengangkutan awam yang lebih selamat, inklusif dan mesra pengguna demi kebaikan semua rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan sesiapa yang terkesan atas kejadian itu.
*Foto: Bomba Kuala Lumpur