22 FEB : Kerajaan akan terus memastikan golongan memerlukan dibantu dan diberi peluang keluar daripada kemiskinan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata untuk merealisasikan itu, pelbagai dasar dan kebijakan yang menyeluruh, program bantuan bersasar dan usaha bersepadu di peringkat akar umbi dilaksanakan.
“Usaha ini bukan sekadar memberikan bantuan sementara, tetapi memastikan setiap keluarga mempunyai peluang untuk berdikari, mendapatkan pekerjaan yang lebih baik dan seterusnya meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Katanya, usaha membasmi kemiskinan tegar akan dilipatgandakan dengan lebih agresif di seluruh negara.
“Saya ingin menegaskan bahawa usaha membasmi kemiskinan tegar ini akan dilipatgandakan dan diteruskan dengan lebih agresif di seluruh negara.
“Kita mahu lihat lebih ramai rakyat keluar daripada belenggu kemiskinan dan menikmati kehidupan yang lebih baik, lebih bermaruah dan lebih sejahtera,” katanya.

Justeru itu katanya, Kerajaan MADANI tidak akan sama sekali berpeluk tubuh melihat rakyat terus dihimpit kemiskinan.
“Semalam, Setiausaha Politik saya, Ahmad Farhan Fauzi turun menyampaikan bantuan kepada keluarga yang memerlukan di tiga DUN di bawah Parlimen Permatang Pauh yakni Seberang Jaya, Penanti dan Permatang Pasir.
“Alhamdulillah, 221 buah keluarga berjaya dibebaskan daripada belenggu kemiskinan tegar. Ia bukan sekadar angka, tetapi bukti nyata bahawa usaha Kerajaan MADANI untuk membela rakyat yang memerlukan terus membuahkan hasil.
“Kemiskinan bukan sekadar masalah ekonomi, tetapi ia adalah soal maruah dan keadilan sosial,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak termasuk sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang prihatin untuk bersama-sama dalam usaha murni itu.
Katanya, dengan semangat kebersamaan yang utuh, kita mampu mencapai Malaysia yang lebih adil dan makmur untuk semua.
*OLEH : HANUM RAJAK