22 FEB : Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, keupayaan Malaysia sebagai destinasi pelaburan, pelancongan dan perdagangan dapat dilonjakkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tumpuan akan diberi kepada beberapa sektor untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara.
Ini termasuk sektor semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), pusat data serta pengukuhan tenaga baharu, pertanian dan teknologi makanan.
Menurut Anwar, beliau berpuas hati setakat ini dengan segala persiapan kepengerusian ASEAN.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata sebagai negara dagang, Malaysia perlu mengambil peluang untuk meningkatkan usaha dagang berikutan sidang ASEAN kali ini merupakan pertemuan pertama yang melibatkan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China.
Selain itu katanya, Malaysia juga komited mengadakan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat (AS) dalam usaha memperluas skop dagangan negara.
“Tetapi yang istimewa ialah dalam setiap sidang ASEAN akan diadakan pameran dan persidangan besar-besaran yang dianjurkan bukan sahaja oleh kerajaan tetapi juga dengan kerjasama syarikat media serta syarikat besar dunia seperti Arab Saudi, China, AS dan tentunya ASEAN,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan Madani 2025, hari ini.
Dengan tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’, Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat, program dan sidang kemuncak berkaitan ASEAN sepanjang tahun ini.
Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 1977, 1997, 2005 dan 2015.