22 FEB : Skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) akan dibincangkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perbincangan itu menjurus kepada aspek-aspek kerjasama terutama melibatkan projek baharu yang bakal diteroka kedua-dua syarikat.
“Kesepakatan yang sudah dipersetujui (setakat ini) bersama…oleh saya, mewakili Kerajaan Malaysia dan Premier Sarawak (Tan Sri Abang Johari Tun Openg)…untuk menerima kenyataan tentang undang-undang semuanya.
“Saya bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadilah Yusof akan berhubung dengan kerajaan Sarawak dan kalau boleh, kita akan panggil perjumpaan untuk mendengar usul mereka. Saya fikir penyelesaian itu yang terbaik dapat kita capai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Permukiman Jemaah Menteri Kerajaan MADANI 2025, hari ini.
Terdahulu, Anwar berkata Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) akan berkuat kuasa pada 1 Mac ini.
Anwar memaklumkan Petros berperanan sebagai agregator di Sarawak namun ia tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikatnya.
Pengiktirafan tersebut disambut baik Abang Johari di mana beliau menyifatkan penyertaan Petros dalam bidang minyak dan gas merupakan sebahagian usaha Sarawak untuk bergerak ke hadapan dalam menyertai seluruh ekosistem ekonomi berdasarkan prinsip kerjasama.
*Foto: Facebook Anwar Ibrahim