Sultan Ibrahim selamat tiba di tanah air lepas terima rawatan
22 FEB : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menjalani rawatan di luar negara pada 7 Februari lalu selamat tiba di tanah air, pagi ini.
Perkhabaran itu dikongsi akaun Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, sebentar tadi.
“Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selamat tiba ke tanah air selepas menjalani rawatan di luar negara.
“Pesawat khas Seri Paduka Baginda tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, hari ini pada jam 7 pagi,” kongsi hantaran itu.
Menurut hantaran tersebut, keberangkatan tiba baginda disambut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zailani Hashim; Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, serta pegawai-pegawai Istana Negara.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang menitipkan doa buat kesihatan baginda, kata hantaran itu.
Pada Selasa, Istana Negara memaklumkan Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan muskulosletal (otot dan tulang).
Kata Istana Negara, kesakitan dialami baginda susulan latihan ketenteraan intensif dan gaya hidup aktif yang gemar bersukan sewaktu muda terutamanya bermain polo.
*Foto : Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
*OLEH : HANUM RAJAK