25 FEB : Masih tiada perbincangan antara UMNO dengan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwa akan meninggalkan parti itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan perkara itu, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid beliau tiada masalah untuk bertemu dengan Tengku Zafrul bagi membincangkan hal itu.
“Kita ada berjumpa tetapi belum bincang lagi. Mungkin beliau akan cari masa yang sesuai dan saya boleh bertemu bila-bila masa sahaja. Tambahan sekarang sedang ada sidang Parlimen.
“Jika saya tidak pergi ke outstation, saya ada di Parlimen. Jadi, biar pejabat saya dan beliau yang akan mengaturkan tarikh sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Desa Seri Ampang, hari ini.
Hujung tahun lalu, Tengku Zafrul yang dilantik sebagai Senator dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dilaporkan akan menyertai PKR.
Perkara itu timbul selepas beliau mendakwa tiada masa depan dengan UMNO.
Sehingga kini tiada perkembangan berkait perkara itu.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri meluangkan masa menziarah keluarga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia, Sabtu lalu.
Sementara dalam hantaran di Facebooknya, Ahmad Zahid menzahirkan rasa simpati yang tulus dan berkongsi kedukaan bersama keluarga Allahyarham Ishsam ketika menziarah mereka.
“Tiada kata yang mampu menggambarkan betapa besar ujian ini bagi mereka. Kehilangan insan tersayang yang dikasihi dan dihormati ramai pasti meninggalkan kesedihan yang mendalam.
“Saya menzahirkan rasa simpati yang tulus dan berkongsi kedukaan bersama keluarga Allahyarham. Pemergian beliau bukan sekadar kehilangan bagi keluarga dan UMNO Negeri Perak, tetapi juga bagi kita semua yang mengenali jasa serta keperibadian beliau.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan dan ketabahan kepada ahli keluarga. Marilah kita bersama-sama mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan para solihin. Insya-Allah,” katanya.