25 FEB : Kerajaan dapat menjimatkan sebanyak RM1.7 bilion dengan menyegerakan pembinaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjimatan itu selepas ketiga-tiga fasa projek pembinaan itu disekalikan.
“Dalam rundingan kita, Sungai Golok, Rantau Panjang dan kerja mengorek…membersihkan muara Sungai Golok…melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Thailand.
“Bila kita segerakan, penjimatan kos ketiga-tiga fasa PLSB Sungai Golok itu kita jimat RM1.7 bilion ringgit sebab itu saya katakan soal tatakelola ketelusan projek harus dijaga,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (BEBAS-Muar) berhubung langkah proaktif bagi menangani banjir pada setiap kali musim monsun serta faktor luar jangka di kawasan yang sering dilanda banjir serta berpotensi dilanda banjir pada masa akan datang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, berdasar kepada unjuran sebelum ini, fasa ketiga projek itu dijangka bermula tahun 2027 namun kerajaan akan mempercepatkannya untuk mengurangkan jumlah kerugian.
Namun katanya, ia masih bergantung kepada tempoh proses pengambilan tanah.
“…apa yang kita lakukan sekarang ialah mempercepatkan itu bermakna (proses) pengambilan tanah itu perlu cepat.
“Kadang-kadang negeri itu mengambil masa dua tahun, paling cepat satu tahun, jadi dengan Menteri Besar Kelantan semalam, saya kata tak boleh…kalau siap (pengambilan tanah) enam bulan…enam bulan, kita mula (projek),” kata beliau.
Beliau berkata demikian bagi enjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) mengenai jumlah kerugian ditanggung kerajaan akibat penangguhan pelaksanaan PLSB sebelum ini.
Selain itu, proses pengambilan tanah juga dipercepatkan di Segamat, Batu Pahat dan Ledang untuk projek Tebatan Banjir Keutamaan Tinggi (TBBT) yang mellibatkan peruntukan RM1.64 bilion.
Projek itu katanya dibina 12 bulan lebih awal daripada perancangan.