25 FEB : Kerajaan memberi jaminan tiada mana-mana pemilik asal hartanah akan diusir tanpa mengira kaum di bawah cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata status tanah itu kekal termasuk rizab Melayu tanpa ada yang akan diubah.
Katanya, tiada peruntukan di bawah akta tersebut yang membenarkan pengusiran terhadap pemilik dilakukan.
“Dalam RUU ini, tidak ada langsung hak kita (kerajaan) untuk pindahkan pemilik asal…tidak berbangkit sama sekali,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau juga menegaskan tidak timbul isu kerajaan gopoh dalam RUU itu.
“Kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang diberikan.
“Dalam mana-mana negara yang pesat membangun dan muncul bandar-bandar yang giat berkembang, tentu juga kita hadapi bangunan yang tidak selamat, bangunan kawasan sesak dan miskin yang harus dibangunkan selain projek terbengkalai.
“Sebab itu sejak 2012, garis panduan dikemukakan, pada 2013 diusulkan dan seterusnya 2015 dimulakan. Jadi soal gopoh itu saya tidak faham kenapa dibangkitkan sekarang,” katanya.
Katanya, kerajaan tidak akan mengetepikan prinsip dan perundangan sedia ada dalam menggubal akta tersebut.
Malah katanya, pembaharuan semula bandar itu bukanlah agenda baharu yang dibawa Kerajaan MADANI namun ia sudah dimulakan sejak 2012 lagi dengan Penggubalan Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar.