26 FEB : Malaysia tidak boleh cepat berpuas hati dengan kestabilan pertumbuhan perdagangan dengan Vietnam melalui Perkongsian Strategik Komprehensif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia mahu menerajui lebih banyak projek berimpak tinggi dengan Vietnam.
“Kita menyaksikan pertumbuhan perdagangan yang stabil, tetapi kita tidak boleh lekas berpuas hati.
“Malaysia melihat potensi besar dalam industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital. Kami bersedia untuk mempercepatkan integrasi rantaian bekalan antara kedua-dua negara.
“Pelabur Malaysia telah memainkan peranan penting dalam landskap ekonomi Vietnam dan kami mahu melihat lebih banyak projek berimpak tinggi diterajui bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini
Beliau berkongsi intipati perbincangannya dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh di Hanoi, awal pagi tadi.
Katanya, Malaysia dan Vietnam terus memperkukuh jaringan hubungan melalui perkongsian itu yang disifatkan bukan sekadar perjanjian atas kertas namun satu komitmen untuk menyemarak kerjasama dalam pelbagai sektor utama yakni perdagangan, pelaburan, tenaga hijau, teknologi digital dan keselamatan serantau.
Mengulas lanjut, Anwar berkata Malaysia serius melabur dalam tenaga hijau termasuk projek tenaga berasaskan angin di selatan Vietnam dan inisiatif besar seperti kerjasama Gentari-Petrovietnam.
“Ia adalah cerminan langkah strategik untuk memperkukuh keselamatan tenaga serantau dan memastikan peralihan yang lebih lestari.
“PETRONAS dan Petrovietnam akan mempercepat kerjasama dalam sektor tenaga di Vietnam merangkumi aktiviti di sektor huluan dan hiliran, gas dan tenaga boleh diperbaharui.
“Khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, syarikat minyak kedua-dua negara ini sedang giat menggerakkan kerjasama dalam penjanaan kuasa dan sambungan grid dari Vietnam ke Malaysia,” katanya.
Tambahnya, inisiatif itu selari dengan aspirasi ASEAN Power Grid (APG) yang bertujuan memperkukuh keselamatan tenaga di rantau ASEAN melalui integrasi infrastruktur tenaga.
Menurut Anwar lagi, di peringkat serantau, Malaysia menegaskan kepentingan mengekalkan kestabilan di Laut China Selatan, memastikan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, dan mempercepatkan rundingan mengenai Kod Tata Laku (COC).

Sementara dalam isu Myanmar, kita mendesak kemajuan yang nyata dan mampan dalam pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) bagi mengelakkan krisis ini daripada terus memburuk.
“Malaysia percaya bahawa hubungan yang kukuh antara negara serantau adalah kunci kepada kestabilan dan kemakmuran bersama.
“Kita tidak boleh sekadar melihat ke belakang, tetapi perlu melangkah ke hadapan dengan strategi perencanaan yang jelas dan tindakan yang memberi dampak positif yang nyata kepada rakyat dan ekonomi negara,” katanya.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi ke Vietnam selama dua hari dan dijangka pulang ke tanah air selepas Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam.
*OLEH : HANUM RAJAK