26 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas pihak yang mengkritik lawatan rasminya ke luar negara.
Tegas Anwar, lawatannya ke luar negara bertujuan mencari pelaburan yang diperlukan Malaysia.
Katanya, hasil pelaburan itu dapat meningkatkan keupayaan ekonomi negara dan rakyatnya.
“Pelaburan membantu memesatkan pembangunan. Soalnya apakah saya perlu terus berkunjung ke luar negara?
“Ada yang tegur, ‘kita jangan berjalan banyak sangat’. Dia tak tahu kita datang malam, tak sampai hotel terus ada dua pertemuan kemudian sambung lagi, duta tambah ‘pre-council’ hingga tengah malam.
“Kemudian pagi-pagi, 7 pagi sudah ada mesyuarat dua hala. Itu tugas kita sampai sekarang dan terus balik bekerja. Saya tak ambil satu hari pun untuk bermain golf,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Forum Masa Depan ASEAN (AFF) kedua anjuran Kementerian Luar Vietnam, hari ini.
Anwar tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di Hanoi, malam tadi dan terus melakukan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam di ibu pejabat parti itu.
Beliau kemudiannya bertemu Presiden Timor-Leste, Jose Ramos-Horta dan berbincang isu dua hala Malaysia dan Timor-Leste.
Usai pertemuan itu, Anwar mempengerusikan mesyuarat pre-council bersama delegasi Malaysia.
Anwar kemudiannya mengetuai delegasi Malaysia bermesyuarat dan bersarapan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh jam 7.30 pagi tadi.
Beliau kemudiannya menyampaikan ucaptama pada AFF tersebut dan melakukan kunjungan hormat terhadap Presiden Republik Sosialis Vietnam, Luong Cuong sebelum pulang ke tanah air.

*Foto : Facebook Anwar Ibrahim