Jepun-Malaysia bina sekolah, hospital di Gaza

27 FEB : Kerajaan Jepun akan bersama Malaysia dalam membangun semula Gaza, Palestin dengan membina sekolah dan hospital.
Sementara itu, Malaysia akan menampung kos bagi membina semula masjid di wilayah itu.
Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 : Wakaf Membangun Malaysia Madani di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
“Baru-baru ini kita sudah umumkan dengan beberapa NGO tentang yayasan wakaf Malaysia di Gaza. Pada permulaan saya beri tumpuan…kawasan itu besar, (orang fikir) seolah-olah satu kota kecil di situ.
“Tapi saya rasa lebih pragmatik kalau kita tumpukan kepada sekolah, masjid dan hospital. Itu dulu. Sekolah dan hospital kita akan kerjasama dengan kerajaan Jepun. Untuk kita (Malaysia)…kita tampung juga (pembinaan) masjid,” katanya.
Hujung bulan lalu, Anwar mengumumkan Malaysia akan memulakan usaha membina semula Gaza dengan kerjasama Jepun bagi membina sebuah sekolah, rumah sakit dan masjid.
Diikuti pengumuman Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bahawa Malaysia bakal mencipta sejarah menjadi negara pertama di ASEAN yang membangunkan bandar wakaf di Gaza.
MAPIM memaklumkan Projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza itu akan dilancarkan selepas Ramadan ini dengan pemberian tanah wakaf seluas 87 ekar yang telah dimetrai perjanjian dalam Gaza pada Februari 2023.
Katanya, Malaysia akan menjadi pengerusi bersama Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) dengan Jepun.
Menurut Anwar, beliau menjelaskan kepada Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba bahawa isu di Gaza itu soal kemanusiaan dan hak asasi manusia
“Saya bincang dengan PM Ishiba mengatakan ini soal kemanusiaan, soal hak asasi, ini soal kezaliman, soal penjajahan.
“Bukan hal yang perlu ditangani oleh hanya umat Islam dan beliau bersetuju. Kita akan menyokong sebagai pengerusi bersama untuk usaha membangunkan semula Gaza.
“Jadi yayasan wakaf kita itu saya percaya dengan Jauhar dan usaha-usaha rakan lain boleh bantu sedaya upaya selain daripda sumbangan yang akan diberi oleh kerajaan,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK