27 FEB : Penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) membuktikan industri media di negara ini sihat dan tiada sekatan terhadap hak bersuara.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata melalui majlis itu, kebebasan media dipertahankan.
“Sekiranya timbul apa-apa isu, maka di kalangan (syarikat dan pengamal) media sendiri melalui majlis ini ia akan dapat diuruskan secara kendiri.
“Maka konsep kawal selia kendiri tu akan memberi satu indikator bahawa industri media kita sihat dan hak rakyat untuk bersuara tidak dikekang. Malah hak media itu, kebebasan media itu kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas program agihan beras fidyah anjuran ikhlas.com di Pusat Komuniti Taman Eko Pantai, hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) MMM 2024 diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu selepas bacaan kali kedua dan dibahas 18 ahli Parlimen kerajaan serta pembangkang.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata banyak syarikat media hari ini berdepan krisis kewangan.
“Saya tak pasti sama ada MMM boleh membantu kerana ini adalah isu kewangan, isu syarikat perniagaan.
“Jadi ini antara beberapa perkara yang akan saya susuli setelah RUU MMM lulus di Dewan Rakyat, saya sudah bertemu dengan Jawatankuasa Pro-Tem yang membantu menggubal undang-undang itu dan pasukan ketua editor.
“Saya maklumkan kita sedang berusaha beberapa perkara yang kita harap dapat diumumkan sewaktu sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menjelang Jun ini yang akan dapat memberi sokongan, bantuan kepada syarikat-syarikat media di Malaysia,” katanya.
Mengulas soal peranan majlis tersebut dalam melawan penyebaran berita palsu, beliau menekankan usaha itu bermula dengan etika kewartawanan yang diharap dapat ditegakkan melalui MMM.
“Ia bermula dengan etika kewartawanan yang kita harap melalui MMM dapat ditegakkan kerana jika kerajaan yang minta itu seolah-olah kita mengekang.
“Bagaimanapun, jika industri sendiri yang mengatakan kita patut sebagai industri bergerak ke arah standard kewartawanan, maka itu ditentukan oleh industri itu sendiri. Saya nampak ini lebih mampan, ini lebih baik untuk kebebasan media di Malaysia,” katanya.