27 FEB : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjangkakan penyasaran subsidi petrol RON95 akan dilaksanakan pertengahan tahun ini.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata pelaksanaan itu mengguna pakai mekanisme terbaik yang bakal dikenal pasti oleh kerajaan.
Katanya, mekanisme yang kini dalam fasa akhir itu bagi memastikan manfaat penyasaran subsidi berkenaan sampai kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata, kerajaan menjamin penyasaran subsidi tersebut tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang tidak terkawal.
“Penyasaran subsidi petrol RON95 dijangka akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini. Pada masa ini kerajaan masih dalam peringkat menentukan mekanisme terbaik untuk melaksanakan penyasaran RON95 bagi memastikan penyasaran ini benar-benar mencapai objektif yang disasarkan.
“Dalam masa yang sama kerajaan juga akan memastikan kesan penyasaran itu nanti tidaka akan berlaku kenaikan kepada harga barang dan perkhidmatan secara tidak munasabah dan tidak terkawal,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen bagi menjawab soalan dikemukakan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang).
Hassan meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan adakah apabila dilancarkan program subsidi bersasar petrol RON97 pada pertengahan tahun 2025 ini tidak akan menyebabkan harga barang naik dan kos sara hidup rakyat akan meningkat.
Menjawab pertanyaan itu, Armizan menjelaskan petrol RON97 tidak terlibat dalam penyasaran subsidi memandangkan bahan api berkenaan sudah lama diapungkan sejak Jun 2018.

Menurut Armizan, KPDN sedang menambah baik sistem sedia ada untuk memberikan kuota petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak.
“Pada ketika ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan fleet card bersubsidi ini sedang dikenal pasti dan satu perbincangan diantara KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan dilaksanakan bagi memuktamadkan senarai akhir kumpulan yang layak untuk mengunakan fleet card petrol bersubsidi ini.
“Pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar yang tepat secara tidak langsung dapat mengekalkan kos perkhidmatan dan kos penghantaran barangan keperluan kepada rakyat dan seterusnya tidak membebankan rakyat dengan tambahan kos sara hidup,” katanya.
Katanya, bagi mengawal dan mengekang peniaga daripada mengambil kesempatan memanipulasi harga barangan, KPDN akan mempertingkat penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.