27 FEB : Projek tanam padi lima musim dalam tempoh dua tahun di negara ini perlu disegerakan.
Penegasan itu disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Infrastruktur Bagi Menyokong Program Penanaman Padi Lima Musim Dua Tahun di Kampung PIDA 4 , Jerlun, hari ini.
Kata Anwar yang juga Menteri Kewangan, kelewatan projek itu hanya akan membebankan petani maka Kerajaan Negeri Kedah dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) perlu bekerjasama untuk menjayakan misi tersebut.
Beliau turut berharap para pesawah dapat memberikan kerjasama dalam melaksanakan projek itu.
“Semua agensi perlu berikan laporan segera, kita kena percepatkan projek ini. Tak boleh sambil lewa, apabila kita lambatkan ia akan bebankan petani.
“Sebab itu, para petani jangan marah banyak, bagi saya ini bukan pasal perbezaan politik, saya nak yakinkan pesawah ini bahawa kerajaan boleh lakukan,” katanya.
Menurut Anwar, produktiviti sawah padi tempatan masih berada pada tahap rendah yang mencetuskan pelbagai isu termasuk harga padi dan cabaran yang dihadapi pengilang.
Anwar berkata kerajaan merangka satu pelan jangka panjang yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM1 bilion untuk fasa pertama projek itu.
“Saya telah berunding dengan pesawah, pegawai kerajaan negeri dan Menteri Pertanian untuk mencari penyelesaian.
“Salah satu cadangan utama ialah membangunkan prasarana pengairan, termasuk menaik taraf sistem tali air dan empangan seperti Empangan Pedu yang mempunyai kepentingan besar,” katanya.
Pada majlis sama, Anwar mengumumkan pemberian RM15 juta kepada pesawah di seluruh negara menjelang Ramadan dan Aidilfitri tahun ini.
Katanya, bantuan itu merupakan sebahagian peruntukan tambahan RM30 juta yang disalurkan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bagi membantu pesawah miskin di negara ini.
“Saya minta Tan Sri Syed Mokhtar bantu pesawah kerana Bernas memperoleh keuntungan daripada mereka.
‘Beliau bersetuju menyumbang RM30 juta dan daripada jumlah itu, RM15 juta akan disalurkan segera kepada pesawah untuk persiapan Ramadan dan Aidilfitri,” katanya.