28 FEB : Notis kekosongan luar jangka bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.48 Ayer Kuning secara rasmi diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Perak, hari ini.
Yang Dipertua Dewan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid menyerahkan notis itu kepada Pengarah SPR Perak, Mohd Nazri Ismail di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Menurut Mohammad Zahir, persidangan DUN Perak dijangka akan dirasmikan pertengahan April depan dan beliau yakin SPR akan mengambil kira perkara itu.
“Persidangan DUN negeri Perak dijangkakan dirasmikan pada pertengahan bulan April. Itulah keadaannya, sebab itu kita sudah maklumkan.
“Kita percaya SPR juga akan mengambil kira perkara tersebut,” katanya dalam satu sidang media, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan kekosongan kerusi N.48 itu kepada pejabat Yang Di Pertua Dewan Negeri Perak.
Mengikut Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, kekosongan luar jangka itu perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh dipastikan oleh SPR kekosongan itu berlaku.
Kekosongan itu berikutan kematian ADUN Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahrudin pada usia 59 tahun akibat serangan jantung.
Allahyarham rebah selepas beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Mohammad Zahir menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas kehilangan tersebut.
“Bagi pihak Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham dan mendoakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman serta beramal soleh di sisi Allah,” katanya.
Allahyarham Ishsham menang DUN Ayer Kuning di bawah tiket BN dengan majoriti 2,213 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu lalu
Ishsam mendapat 9,088 undi menewaskan calon Amanah-PH Mohd Nazri Hashim 6,875 undi; calon PAS-PN Muhammad Noor Farid Zainal 6,812 undi, K Bawani dari PSM 586 undi dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air 105 undi.