28 FEB : Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar semua pihak tidak berterusan membahaskan titah adendum.
Baginda menegaskan titah adendum itu sudah berada dalam proses undang-undang dan semua pihak perlu menghormatinya.
“Dalam soal titah adendum, bahawasanya perkara ini adalah berada dalam bidang kuasa pihak yang bertanggungjawab dan berintegriti.
“Oleh itu, semua pihak perlu menghormati proses serta undang-undang yang telah ditetapkan dan tidak menimbulkan sebarang kekeliruan dan retorik.
“Saya menyeru kepada semua supaya berpegang teguh kepada nilai kejujuran, amanah, saling menghormati dan bersikap terbuka dalam menyelesaikan sesuatu perkara,” titah baginda dalam satu hantaran di akaun Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.
Baginda menyampaikan titah itu ketika Himpunan Pahang Bermunajat Raja Berdaulat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 pada Khamis.
Terdahulu, baginda berangkat ke acara itu diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut mengiringi baginda Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Panglima Perang, Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Titah adendum merujuk dokumen tambahan bagi kes Datuk Seri Najib Razak untuk membolehkan bekas Perdana Menteri itu menjalani baki hukuman penjaranya sebagai tahanan rumah.
Titah itu didakwa diperkenan Al-Sultan Abdullah ketika menjawat sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Januari lalu, Najib mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan dokumen tambahan itu.
Dewan Rakyat sebelum ini melarang perbahasan berkait kes itu di persidangan yang mencetus bantahan ahli Parlimen pembangkang.