28 FEB : Umat Islam di Malaysia akan menyambut 1 Ramadan dan memulakan ibadah puasa pada Ahad ini.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengisytiharkan tarikh itu pada siaran langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM), malam ini.
“Bagi menyempurnakan titah perintah ke bawah dulu yang maha mulia seri paduka baginda Yang di-Pertuan Agong telah diperkenan oleh duli-duli yang maha mulia raja-raja maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad, 2 Mac 2025,” umumnya.
Terdahulu Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia memaklumkan Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh awal Ramadan berdasarkan Rukyah dan Hisab.
Hari ini, 29 lokasi seluruh negara sudah ditetapkan sebagai lokasi untuk melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa buat umat Islam di Malaysia.