1 MAC : Kawasan Dataran Merdeka sehingga ke Carcosa Seri Negara bakal diisytihar sebagai Tapak Warisan Kuala Lumpur.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dibentanangkan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada Kabinet pada mesyuarat jemaah menteri pada Jumaat.
“Pagi tadi (semalam) jemaah menteri meminta Khazanah dan DBKL menerangkan mengenai seluruh kawasan bermula dari Dataran Merdeka, Bangunan Sultan Abdul Samad, Keretapi Tanah Melayu sehingga Carcosa Seri Negara untuk dijadikan keseluruhan tapak Warisan Kuala Lumpur.
“Perlu diingat, kali pertama dalam sejarah peruntukan bermula dengan angka RM1 bilion yang diusahakan Khazanah untuk kita kekalkan satu Warisan Kuala Lumpur,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang, Wanita, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor di Shah Alam, malam tadi.
Menurut Anwar perkara itu sudah disembah maklum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Selain itu katanya, turut disembah maklum adalah bahawa Bangunan Sultan Abdul Samad perlu dikekalkan sebagai tanda Warisan Kesultanan Melayu yang agung.