1 MAC : Portal Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kini boleh diakses dengan menggunakan Identiti Digital Malaysia (MyDigital ID).
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Bermula hari ini, pemohon dan penerima STR mempunyai alternatif untuk mengakses portal tersebut dengan MyDigital ID masing-masing sama ada untuk semakan atau membuat permohonan baharu.
Menurut LHDN, usaha itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025.
Anwar mahu MyDigital ID sebagai pemudah cara utama dalam urusan digital rakyat selain berfungsi sebagai paksi kepada transformasi digital negara.
LHDN memaklumkan, seramai 9,665,476 pengguna portal STR bakal menggunakan kemudahan ini.
Selain itu, LHDN menjangka jumlah pengguna akan bertambah seiring dengan permohonan STR yang dibuka sepanjang tahun.
Kata LHDN, setakat ini seramai 578,828 orang pengguna sudah menggunakan MyDigital ID untuk mengakses perkhidmatan MyTax bagi carian Nombor TIN.
“Data ini menunjukkan tanda positif serta penerimaan pengguna terhadap kelebihan MyDigital ID yang dipercayai, selamat dan efisien digunakan,” menurut LHDN, lapor Bernama.
LHDN turut memaklumkan pengguna atau pemohon bahawa mereka masih boleh menggunakan kedua-dua ID iaitu MySTR atau MyDigital ID untuk mengakses portal STR menerusi pautan https://bantuantunai.hasil.gov.my.
MyDigital ID yang diperkenalkan sebelum ini adalah identiti tunggal rakyat Malaysia dalam mengakses sistem yang disediakan agensi kerajaan.