1 MAC : Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan mengendalikan satu sesi taklimat harian yang disiarkan secara langsung bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata taklimat itu akan disiarkan menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia setiap hari pada jam 11 pagi dan 5 petang.
Katanya, taklimat harian itu bagi menjelaskan perkembangan semasa, dasar utama kerajaan dan isu-isu penting.
Jelasnya, taklimat itu penting bagi menangkis penyebaran fitnah dan maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.
“Dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih adalah amat penting.
“Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju untuk memperkenalkan Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri, yang akan disiarkan secara langsung.
“Tujuan utama taklimat ini adalah untuk memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi yakni Pejabat Perdana Menteri.
“Jadi orang ramai disaran mengikuti taklimat ini bagi mendapatkan gambaran yang jelas mengenai dasar serta inisiatif kerajaan secara langsung daripada sumber rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam siaran langsung pada akaun Facebok rasmi Anwar Ibrahim, hari ini.
Menurut Tnku Nashrul, inisiatif itu selaras dengan gagasan MADANI yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbir dan rakyat selain membudayakan amalan menyemak kesahihan sesuatu maklumat melalui sumber yang tepat.
Sempena Ramadan kali ini, Anwar juga katanya akan melawat negeri-negeri dalam usaha memperkukuh kerjasama antara pusat dan negeri.
Pada masa sama, beliau juga akan menyantuni masyarakat menerusi Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Butiran lanjut mengenai perkara itu akan diumumkan kelak melalui saluran rasmi kerajaan.
“Pejabat Perdana Menteri menggalakkan semua rakyat untuk mengambil bahagian dalam majlis-majlis ini sebagai tanda kebersamaan dan perpaduan.
“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, Pejabat Perdana Menteri percaya bahawa komunikasi yang jelas, keterbukaan dalam pentadbiran, dan pengukuhan nilai-nilai spiritual adalah elemen penting untuk mewujudkan kepercayaan antara rakyat dan Kerajaan,” kata Tunku Nashrul.
Selain itu, Anwar juga akan melaksanakan Program Ihya’ Ramadan di kementerian-kementerian bagi menjadikan bulan Ramadan ini sebagai madrasah rohani bukan saja bagi aspek ibadah tapi juga dalam pembentukan nilai serta akhlak pentadbiran negara.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan akan mengunjungi pelbagai kementerian bagi menyantuni penjawat awam serta menyampaikan tazkirah ringkas bersama penceramah jemputan.