4 MAC : Kegiatan mencampur beras putih tempatan (BPT) dengan beras putih import (BPI) bukan baru berlaku dalam pentadbiran kerajaan sekarang.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata aktiviti itu sudah berlaku sejak tahun 1970-an lagi.
“Keputusan analisis Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menunjukkan wujud persamaan profil DNA dengan varieti padi tempatan atau dengan kata lain berlaku percampuran BPT dengan BPI dalam kampit BPI.
“Amalan pencampuran beras ini telah berlaku sejak tahun 1970-an lagi, iaitu selepas penubuhan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) di bawah pentadbiran kerajaan-kerajaan terdahulu dan bukannya baru berlaku ketika pemerintahan kerajaan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman web Parlimen.
Beliau menjawab soalan dibangkitkan Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) yang meminta kementeriannya menyatakan ke mana perginya beras tempatan dan perancangan kementerian mengatasi masalah yang berlarutan hampir dua tahun.
Dalam jawapan sama, Mohamad berkata kerajaan tidak boleh mendakwa pihak yang terbabit atas perbuatan tersebut.
“Bagaimanapun, berdasarkan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan perundangan subsidiari di bawahnya, tiada peruntukan yang khusus yang jelas bagi pendakwaan kes di mahkamah mengenai kesalahan percampuran beras,” katanya.
Menurutnya, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang menjalankan kajian ke atas industri padi dan beras sejak awal 2024 mendapati berlaku amalan proses pencampuran BPT dengan BPI di dalam industri padi dan beras.
“MyCC merumuskan bahawa tujuan pencampuran ini adalah untuk memenuhi cita rasa pengguna tempatan dan untuk menghasilkan variasi jenama di pasaran.
“Untuk makluman, mekanisme bagi mengawal percampuran turut mendapat sokongan MyCC sebagai kaedah penyelesaian masalah bekalan beras,” katanya.
Hujung tahun lalu katanya, KPKM diarah untuk memperhalusi kaedah dan mekanisme terbaik untuk mengawal percampuran BPT dan BPI melalui perundangan.
Pada masa sama, Mohamad berkata KPKM juga diarah merangka simulasi cadangan penetapan harga yang bersesuaian bagi kategori beras campuran secara komprehensif sebelum dikemukakan bagi pertimbangan jemaah menteri.
Mohamad berkata pada 13 Februari lalu dua langkah diumum sebagai usaha awal untuk memastikan keseimbangan dalam industri berkait harga lantai belian padi dan harga jualan BPT.
“Menyelaras harga lantai belian padi daripada RM1,300 kepada RM1,500 bagi setiap tan metrik yang berkuat kuasa 16 Februari 2025.
“Mengekalkan BPT pada harga RM2.60 sekilogram dengan menyerap sebahagian kos pengeluaran BPT sekitar RM150 juta sehingga 31 Ogos bagi memastikan keberadaan bekalan sebanyak 24 juta kampit BPT 10 kilogram secara berperingkat di pasaran,” katanya.
*OLEH : HANUM RAJAK