Kerajaan usaha tingkatkan upah pekerja swasta

4 MAC : Kerajaan MADANI sudah mengambil pendekatan yang perlu dalam usaha meningkatkan upah bagi pekerja sektor swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga melaksanakan dasar gaji progresif bagi menyokong syarikat swasta menaikkan gaji pekerja selain kenaikan gaji minimum RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari lalu.
“Kita sedang mengambil langkah ini menerusi gaji minimum, gaji progresif…GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) juga sudah menetapkan (naikkan gaji) serta syarikat swasta yang catat keuntungan besar juga diminta lebih adil kepada pekerja.
“Cuma kerajaan tidak ada kekuatan undang-undang memaksa syarikat swasta…untuk menekankan (naik gaji),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini bagi menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang).
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, beliau mengambil inisiatif bertemu dengan pengurusan syarikat swasta dalam sektor perladangan supaya gaji pekerja diimbangi dengan kesan inflasi yang berlaku ketika ini.
“Saya sendiri berjumpa dengan syarikat umpamanya perladangan yang mencatat keuntungan, haruslah lebih adil dan jangan catatan keuntungan tinggi tapi gaji tidak setimpal.
“Ada kesenjangan di antara kenaikan produktiviti lebih tinggi daripada kenaikan gaji. Inflasi walaupun rendah, kalau gaji tak naik inflasi itu akan mengesankan.
“Semua syarikat kerajaan yang banyak (pekerja) ratusan ribu seperti PETRONAS, TNB (Tenaga Nasional Berhad), Telekom (Malaysia), semua syarikat ini menetapkan gaji yang lebih tinggi dari kadar gaji minimum, mencecah lebih RM2,000,” katanya.
*Foto Facebook Anwar Ibrahim