4 MAC : Kerajaan bimbang terlalu banyak kelonggaran untuk pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memberi kesan pada pencarum selepas bersara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata prinsip tiada kelonggaran berlebihan diberikan untuk pengeluaran itu sudah dipegang sejak dulu.
Katanya, kerajaan perlu mewujudkan keseimbangan antara penyelesaian kepada masalah mendesak dengan penyediaan simpanan untuk menempuh persaraan.
Namun katanya, beberapa kelonggaran diberikan mengikut kes-kes tertentu untuk pengeluaran.
“Prinsip yang kita pegang sejak puluhan tahun lalu, ialah tiada kelonggaran berlebihan kerana prinsip KWSP adalah simpanan untuk hari tua.
“Sebab ini, sementara saya faham keluhan Yang Berhomat, adakalanya beberapa pengecualian dan kelonggaran diberikan.
“Banyak kes rayuan khusus diberikan pertimbangan khas terutama dalam keadaan keuzuran dan sebagainya.
“Namun, membuka ruang terlalu luas, bermakna kita akan menghukum mereka apabila beransur tua dan bersara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) berkait pertimbangan kerajaan untuk pengeluaran KWSP bagi pencarum yang berhenti atau dihentikan kerja.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, majoriti pencarum KWSP di negara ini memiliki simpanan yang sangat kecil terutama dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Justeru, jika kita membuka ruang, ini akan menimbulkan masalah dalam beberapa tahun lagi apabila mereka (pencarum) bersara.
“Malah, bila pencarum lihat dividen 6.3 peratus, dia faham simpanan ini akan memberi hasil lumayan kepada mereka kelak,” katanya.
Namun menurut Anwar, permohonan boleh dibuat kepada KWSP sekiranya pencarum terdesak untuk mengeluarkan simpanan masing-masing.
“Kalau ada (kes) spesifik dibangkitkan Padang Terap, saya percaya KWSP boleh beri pertimbangan seperti dilakukan sekarang.
“Katalah keadaan mendesak walaupun tidak ikut kaedah diberikan sekarang,” katanya.