5 MAC : Kerajaan memberi jaminan pengguna akan kekal membayar tarif elektrik pada kadar sama seperti sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberi jaminan itu di Dewan Rakyat, hari ini.
“(Kekal tarif elektrik) selari persetujuan kerajaan mengenai penetapan kadar purata tarif asas elektrik di Semenanjung bagi TNB di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR) pada 13 Disember lalu.
“Persetujuan itu bagi tempoh Regulatori Keempat (RP4) bermula pada 1 Januari lalu hingga 31 Disember 2027.
“Kementerian pada 20 Disember lalu, juga menyiarkan kenyataan media bertajuk ‘Pengekalan Tarif Elektrik di Semenanjung: Kerajaan Menyediakan Subsidi Elektrik Sebanyak RM5.96 Bilion Bagi Tempoh 1 Januari Hingga 30 Jun 2025’,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Seri Hamzah Zainudin (PN-Larut) berkait tindakan akan diambil terhadap ahli lembaga TNB selepas membuat pengumuman palsu mengenai kenaikan tarif elektrik yang melanggar obligasi Penzahiran Maklumat Material di bawah Peraturan Suruhanjaya Sekuriti.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menegaskan pengumuman TNB itu tidak menggambarkan keseluruhan keputusan kerajaan.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata pengumuman TNB itu dibuat ketika jadual tarif baharu belum dimuktamadkan meski ketika itu kadar purata asas sudah diputuskan kerajaan.
Menurut Fadilah, sejak 2014 lagi penetapan tarif asas elektrik lazimnya dibuat berdasar kepada mekanisme IBR.
Katanya, melalui IBR, purata tarif asas di Semenanjung untuk TNB dikaji setiap tiga tahun berserta penetapan parameter asas bagi perniagaan TNB yang diselia melalui Suruhanjaya Tenaga (ST).