5 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disahkan bakal mula turun ke negeri-negeri mulai minggu depan.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata selain beramah mesra dengan masyarakat setempat Anwar juga akan mempengerusikan mesyuarat khas pembangunan bersama pimpinan utama kerajaan negeri serta agensi.
Katanya, Anwar yang juga Menteri Kewangan menetapkan sendiri beberapa agenda dalam lawatan ke negeri itu.
“Perdana Menteri sendiri menetapkan beberapa agenda termasuk agenda menoktahkan kemiskinan tegar, kekal sebagai keutamaan tertinggi beliau dalam perbincangan bersama pimpinan utama kerajaan serta agensi kelak.
“Sejak agenda ini diumumkan dalam Belanjawan 2023, beliau menggerakkan semua setiausaha politik ke negeri bagi memastikan gerak kerja serta bantuan disalurkan secara tersusun kepada kumpulan miskin tegar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), hari ini.
Sabtu lalu, Nashrul memaklumkan Anwar akan melawat negeri-negeri dalam usaha memperkukuh kerjasama antara pusat dan negeri sempena Ramadan kali ini.
Pada masa sama, Anwar juga akan menyantuni masyarakat menerusi Majlis Berbuka Puasa MADANI.
Mengulas lanjut, Tunku Nashrul berkata Anwar menjamin akan meluangkan masa untuk menyantuni rakyat khususnya dalam kelompok miskin tegar d negeri berkenaan.
“Dalam program-program beliau di negeri dan kawasan sekitar, beliau sendiri akan memastikan masanya akan ada untuk beliau turun untuk menyantuni rakyat terbanyak khusunya rakyat berpendapatan rendah dan miskin tegar.
“Usaha ini akan dilaksanakan secara berterusan oleh Perdana Menteri dan pasukan beliau sendiri,” katanya.

Tambahnya, usaha itu merangkumi peningkatan pendapatan golongan sasar, menyediakan peluang pekerjaan, akses lebih baik kepada pendidikan, kesihatan dan perumahan juga memperbaiki taraf hidup dan kesejahteraan isi rumah miskin.
OLEH : HANUM RAJAK