6 MAC : Aplikasi janji temu yang wujud antara penyumbang kepada jenayah siber terutama sekali penipuan cinta atau ‘love scam’ yang masih belum dapat dibendung hingga kini
Tahun lalu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan kerugian love scam meningkat 75.6 peratus daripada RM43.9 juta (2023) kepada RM45.9 juta pada 2024 di mana 770 kes dilaporkan dengan 582 mangsa adalah wanita.
Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil langkah untuk menyekat akses ke atas aplikasi janji temu seperti Tinder, Grindr dan Omi bagi mengurangkan kes jenayah yang berpunca daripada interaksi dalam talian.
Meskipun tiada kawalan yang dikenakan ke atas platform Google Play dan Apple Store untuk memuat turun aplikasi-aplikasi tersebut di Malaysia setakat ini namun pemantauan kandungan tidak bermoral giat dilaksanakan.
Pakar Psikologi dari Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), Dr Zhooriyati Sehu Mohamad berkata penipuan dalam talian terutamanya love scam akan memberi kesan psikologi yang mendalam terutama gangguan emosi kepada mangsa.
Katanya, ia boleh mengganggu perasaan mangsa di mana mereka mepertikai soal harga diri sendiri yang bakal menjurus kepada trauma emosi berpanjangan.
“Mangsa love scam seringkali merasa dikhianati dan dipermainkan dan ia menyebabkan rasa percaya diri menurun dan sulit untuk membina hubungan yang sihat pada masa hadapan.
“Penipuan yang melibatkan kerugian kewangan juga membawa kepada tekanan kewangan yang memberi impak kepada kesejahteraan mental mangsa seperti tertekan, cemas atau boleh mengalami kemurungan.
“Dari segi sosial, mereka juga mungkin menggalami isolasi kerana rasa malu dan rasa takut orang lain akan menilai mereka,” katanya kepada BBCPORTAL.

Ditanya adakah langkah menyekat aplikasi janji temu dalam talian merupakan pilihan terbaik untuk melindungi orang ramai, Zhooriyati berkata ia bukanlah langkah yang memberangsangkan kerana tindakan tersebut boleh menyekat kebebasan peribadi dan peluang individu yang ingin mencari hubungan yang sihat secara dalam talian.
Sebagai langkah alternatif, Zhooriyati mencadangkan agar kerajaan mengambil pendekatan yang lebih holistik dan preventif untuk melindungi orang ramai termasuk memperkukuh undang-undang yang mengawal selia penggunaan aplikasi janji temu dalam talian serta memperkenalkan sistem keselamatan yang lebih ketat dalam platform tersebut.
“Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan pembangun aplikasi untuk memastikan aplikasi tersebut mempunyai protokol keselamatan yang melindungi pengguna daripada penipuan, selain memastikan mekanisme untuk melaporkan penipuan secara cepat dan mudah perlu disediakan supaya tindakan boleh diambil dengan segera,” katanya.
Selain itu, Zhooriati berkata kempen bagi meningkatkan kecerdasan digital masyarakat perlu diteruskan bagi memastikan orang ramai lebih kritis dan berhati-hati dalam berinteraksi di ruang maya.
“Bagi individu, penting untuk sentiasa berfikiran terbuka dan tidak terlalu mudah mempercayai seseorang yang tidak dikenalinya sepenuhnya…menggalakkan komunikasi yang lebih terbuka dan mendalam dengan orang yang dekat dapat membantu menghindari situasi di mana seseorang merasa terasing dan mudah dimanipulasi,” katanya.
OLEH: AISYAH BADRUL