Saya mengikuti dan meneliti isu berkaitan tiga orang penyampai sebuah stesen radio swasta yang didakwa mempersenda upacara keagamaan sebuah agama bukan islam yang kini menjadi isu hangat di negara ini.
Saya bersetuju bahawa tindakan mereka merupakan satu kesalahan dan tidak sesekali mencerminkan ajaran agama Islam.
Selama Malaysia wujud, perselisihan dan salah faham dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama kerap dan seringkali berlaku.
Ianya pernah mencapai tahap terburuk dengan tercetusnya tragedi 13 Mei 1969 yang sudah tentu tidak mahu kita ulangi.
Mengambil pengajaran daripada peristiwa itu, kerajaan terdahulu mengambil langkah-langkah perlu bagi memastikan perpaduan kaum diperkukuh di negara ini.
Ini berlangsung dengan baik sehinggalah ketidakstabilan politik membuatkan isu perkauman dan agama mula menjadi isu terbuka diperkatakan masyarakat umum.
Justeru, saya menyeru kepada semua pemimpin politik dan masyarakat di pelbagai peringkat untuk memainkan peranan masing-masing dengan tujuan menyatukan dan meredakan kemarahan rakyat.
Pemimpin jangan sesekali menjadi pencetus, mahupun menjadi api yang boleh menjadi punca perbalahan.
Malah, saya berpandangan pimpinan di peringkat pusat perlu menjadi orang tengah bagi mempertemu dan mendamaikan pihak-pihak berkenaan.
Tindakan yang sewajarnya harus diambil pihak berkuasa dengan niat sekadar memberi pengajaran kepada pelaku, bukan menghukum demi memberi kepuasan kepada sesetengah pihak yang lain.
Kita tidak mahu perbalahan ini mencapai tahap di mana setiap pihak menanti satu pihak yang lain untuk melakukan kesilapan, demi untuk mengembalikan paku buah keras masing-masing.
Negara ini harus segera bebas daripada isu sebegini. Pada usia 68 tahun, keutamaan kita adalah pencapaian negara dan rakyatnya dalam pelbagai bidang, bukan lagi pertelingkahan kaum dan agama yang tiada kesudahan.
DATUK SERI WAN ROSDY WAN ISMAIL
Naib Presiden UMNO
6 Mac 2025